ANALISIS PELAKSANAAN DAN PENCAPAIAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA PERINGKAT GELOMBANG PERTAMA (2013-2015)




PENYEDIAAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, 2013-2015 

Kementerian Pelajaran telah memulakan usaha mengkaji semula sistem pendidikan negara pada bulan Oktober 2011. Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara telah dibentuk untuk mengumpul pandangan masyarakat umum mengenai langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan. Menerusi satu siri jelajah dialog pendidikan yang diadakan di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor telah diterima daripada hampir 12,000 orang peserta yang mengambil bahagian. Kementerian juga telah menerima 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu. Selain itu, pandangan daripada Panel Penilai Bebas Malaysia dan Antarabangsa telah diperolehi dalam menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan. Kementerian juga telah mendapatkan input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh UNESCO, OECD, Bank Dunia dan Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi Awam tempatan. Hari ini, ketika kita masih lagi dalam semangat sambutan ulang tahun kemerderkaan negara yang ke-57,tercatat satu lagi peristiwa penting dalam lembaran sejarah negara kita. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Pelan ini tidak ubah seperti satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan pengharapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.


ANALISIS PELAKSANAAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (2013-2015)

Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan suatu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Di samping itu, pada peringkat murid-murid pula, pelan ini menyasarkan 6 ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, serta identiti nasional. Dalam merangka Pelan ini, 9 bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi. Sembilan perkara tersebut ialah:

* Pertama, memartabatkan profesion keguruan;
* Kedua, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;
* Ketiga, meningkatkan kualiti sekolah;
* Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;
* Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;
* Keenam, mengukuhkan pelibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan;
* Ketujuh, meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja;
* Kelapan, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber; dan
* Kesembilan, membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

Daripada keseluruhan 9 bidang keutamaan ini, Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju pendidikan, manakala anjakan yang lain merupakan perubahan operasi yang telah dan sedang dilaksanakan. Sama ada perubahan bersifat strategi atau operasi,semuanya menggambarkan perubahan amalan semasa.

ANJAKAN PERTAMA (1) ialah Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa. Hakikatnya, hari ini, murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju.Sehubungan dengan itu, Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kementerian juga akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi sekolah boleh menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam kurikulum. Seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu ini, kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana. Ini termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang, dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun berbanding enam tahun. Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu. Selain itu, tempoh pendidikan wajib juga akan dilanjutkan daripada 6 tahun sekarang kepada 11 tahun,dengan disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional. 

Dari segi penguasaan bahasa, Kementerian akan melaksanakan AJAKAN YANG KEDUA (2), iaitu memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, Kementerian akan memperluas program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Kementerian juga akan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun.Guru yang tidak mencapai standard yang ditetapkan akan mengikuti latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran. Di samping itu, murid akan diberi pendedahan yang lebih meluas terhadap bahasa Inggeris dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah. Bagi memantapkan penguasaan bahasa Malaysia di semua jenis sekolah, kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi sekolah jenis kebangsaan. Dengan pelaksanaan kurikulum standard ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsan akan dimansuhkan mulai tahun 2017. Selain itu, Kementerian juga akan menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain. 

Seterusnya, Kementerian akan melaksanakan ANJAKAN yang ketiga (3), iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai. Dalam mengharungi dunia yang semakin mencabar hari ini, anak-anak kita perlu memiliki nilai-nilai murni sejagat yang selaras dengan tuntutan moral, etika dan agama. Pada masa yang sama, sebagai warganegara, anak-anak kita juga perlu sentiasa dipupuk dengan semangat patriotisme untuk membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu.
Program-program yang sedia ada seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan program 1Murid 1Sukan 1Kelab dan 1Badan Berunifom juga akan diteruskan. Segala langkah yang akan diambil ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dokongan guru-guru yang berkualiti.

Sehubungan dengan itu, kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEEMPAT (4), iaitu meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan. Anjakan ini adalah selari dengan pandangan sebahagian besar peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan kualiti guru diberikan keutamaan. Untuk itu, kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan menyasarkan hanya 30% teratas daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan. Selain itu, bagi guru-guru yang sudah berada dalam sistem, kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya berterusan guru-guru dengan melaksanakan program pembangunan kerjaya secara in-situ di sekolah. Untuk menyokong peningkatan prestasi guru, kementerian akan menyediakan laluan kerjaya guru berasaskan kompetensi dan prestasi. Dalam hal ini, guru berprestasi tinggi akan berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada gred DG41 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun yang merupakan purata tempoh kenaikan pangkat secara time-based yang baru. Selain itu, kementerian akan memastikan guru memberikan tumpuan kepada fungsi teras pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran; memperluaskan laluan kerjaya guru untuk peranan kepimpinan, pakar pengajaran dan pakar bidang khusus; dan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu skim pensijilan yang dikaitkan dengan penguasaan kecekapan guru. 

Seterusnya, ANJAKAN YANG KELIMA (5) ialah memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan disetiap sekolah. Untuk itu, kementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi, serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai tahun 2013. Selain itu, kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang disekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah. Kementerian juga akan menyediakan sokongan yang secukupnya kepada pengetua dan guru besar untuk membantu mereka meningkatkan prestasi sekolah. 

Untuk itu, Kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEENAM (6), iaitu mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Specialist Coaches atau SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Partners atau SiPartners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Para jurulatih ini bertanggungjawab memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah, iaitu sekolah yang berada dalam band 5, 6 dan 7. Satu projek rintis akan dilaksanakan di negeri Sabah dan Kedah mulai Januari 2013, manakala pelaksanaan seluruh negara akan bermula Januari 2014. Selain itu, untuk meningkatkan autonomi sekolah, kementerian akan membenarkan fleksibiliti pengoperasian ke atas pengagihan bajet dan pelaksanaan kurikulum, dimulai dengan Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster, Sekolah Amanah dan sekolah-sekolah yang menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara. Dari semasa ke semasa, lebih banyak sekolah akan diberikan hak membuat keputusan dana kauntabiliti berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.

Dalam dunia yang pantas berkembang hari ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT mempunyai potensi yang besar untuk memacu proses pembelajaran. Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KETUJUH (7), iaitu memanfaatkan (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi kesemua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung tahun 2013. Dalam masa yang terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolahyang akan menyediakan landasan untuk pelaksanaan pembelajaran secara interaktif.

Seterusnya, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KELAPAN (8), iaitu mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran. Struktur organisasi kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih. Lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD, iaitu agensi utama dalam rantaian penyampaian pendidikan. Dalam konteks ini, PPD bukan lagi semata-mata berperanan sebagai saluran penghubung antara kementerian dan sekolah, tetapi sebagai agensi penting yang terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah. Kementerian akan mengekalkan fungsinya dalam perancangan makro dan penggubalan dasar, manakala JPN akan memberikan tumpuan kepada penyelarasan dan penyampaian segala perancangan, serta menjadi penghubung yang penting antara penggubal dasar dan pelaksana di peringkat bawah. 

Menyedari hakikat bahawa proses pembelajaran tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi turut merangkumi aktiviti-aktiviti di luar sekolah yang melibatkan penyertaan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta,kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEMBILAN (9), iaitu memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta. Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), untuk membolehkan ibu bapa memantau kemajuan anak mereka disekolah secara atas talian. Perhatian khusus akan diberikan kepada usaha membantu ibu bapa luar bandar dan miskin bandar meningkatkan prestasi anak masing-masing.

Saban tahun, sekitar 16% daripada bajet negara diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, dan jumlah ini merupakan yang terbesar antara semua kementerian. Bajet pendidikan di Malaysia, sebagai sebahagian daripada KDNK juga merupakan satu daripada yang tertinggi di dunia. Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEPULUH (10), iaitu memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah pada setiap tahun, seiring dengan anjakan pengurusan kewangan negara ke arah Bajet Berasaskan Keberhasilan (Outcome-Based Budgeting). Kementerian juga akan meningkatkan kecekapan dalammengurus perbelanjaan dengan memberikan keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru. 

ANJAKAN YANG KESEBELAS (11), iaitu yang terakhir, ialah meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam. Sepanjang pelaksanaan Pelan ini, semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif. Pelan ini akan diterbitkan untuk tatapan umum mulai tahun 2013. Pelan Pembangunan Pendidikan ini adalah satu dokumen komprehensif yang bukan sahaja mengenal pasti bidang-bidang keutamaan dan meletakkan sasaran-sasaran yang hendak dicapai, malah turut menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas, dan menetapkan jangka masa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan. Misalnya, rakyat boleh menjangkakan dalam Gelombang Pertama pelaksanaan, iaitu dari tahun 2013 hingga 2015, akan berlaku peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkatnegeri dan daerah, dan mutu kepimpinan sekolah.


PENCAPAIAN PELAKSANAAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (2013-2015)

Berdasarkan dari bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, beliau menyatakan bahawa beliau menyaksikan peningkatan Program Literasi dan Numerasi (LINUS) dengan pencapaian 99 peratus literasi Bahasa Melayu dan numerasi apabila murid tamat Tahun Tiga. Selain itu, program seperti Program Transformasi Daerah, LINUS, peningkatan kemahiran guru dan pemimpin melalui Piagam Guru dan Piagam Pemimpin telah berjaya mencapai sasaran. Pada masa yang sama, enrolmen pra-sekolah dan sekolah rendah meningkat iaitu masing-masing mencatatkan 84.6% dan 98% pada 2015 berbanding 2013. Manakala, 25% jurang pendidikan bandar dan luar bandar berjaya dikurangkan dalam tempoh tiga tahun iaitu dari 2013-2015. Tambahan lagi, enrolmen menengah rendah dalam pendidikan vokasional meningkat daripada 4.6% pada 2013 kepada 5.3% pada 2015. Seterusnya, 268. 589 guru turut dilatih mengenai Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dalam usaha meningkatkan kualiti golongan pendidikan. Yang terakhir adalah sekolah yang mempunyai Band 6 dan 7 berjaya dikurangkan daripada 139 buah pada 2014 kepada 95 buah pada 2015.



RUJUKAN:

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025: Pendidikan prasekolah hingga lepas menengah. (2013). Retrieved from https://www.moe.gov.my/muat-turun/penerbitan-dan-jurnal/1818-pelan-pembangunan-pendidikan-2013-2025/file

Rahimah Abdullah. (2016, August 9). Gelombang 1 PPPM 2013-2025 capai sasaran. Astro Awani. Retrieved from https://www.astroawani.com/berita-malaysia/gelombang-1-pppm-20132025-capai-sasaran-113452

Unit Perancang Ekonomi. (2010). Mentransformasi Sistem Pendidikan. Retrieved from https://www.epu.gov.my/sites/default/files/2020-02/Kertas%20Strategi%2010.pdf

Laporan Tahunan 2015. (2016). Retrieved from Kementerian Pendidikan Malaysia 2016 website: https://www.moe.gov.my/images/kpm/pemberitahuan/3-Laporan%20Tahunan%202015%20PPPM%202013-2025%20(BM).pdf

Comments

Popular posts from this blog

ANALISIS PELAKSANAAN DAN PENCAPAIAN TERAS STRATEGIK DALAM PELAN INDUK PEMBANGUNAN PENDIDIKAN (2006 - 2010)