Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dan Misi Nasional
Misi Nasional memberikan penekanan tinggi kepada pembangunan modal insan 'Minda Kelas Pertama' sebagai pendekatan utama bagi melonjak ke status negara maju. Pendidikan memainkan peranan penting dalam menjayakan teras Misi Nasional ini terutamanya bagi Teras 2 dan Teras 3 iaitu meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk 'minda kelas pertama', dan menangani masalah ketidakseimbangan sosiokonomi yang berterusan secara membin adan produktif.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006 - 2010)
Negara kita mempunyai pendekatan dalam sistem pendidikan yang bukan sahaja tertumpu kepada melahirkan modal insan melalui pembentukan kandungan kurikulum dan kaedah penyampaian terhadap kandungan malah digunakan sebagai alat untuk menyatupadukan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum. Implikasi daripada sistem pendidikan yang mempunyai skop yang lebih meluas ini akan dapat melahirkan masyarakat yang dihasratkan dalam Wawasan 2020.Ini merupakan satu tugas yang berat. Kesannya, negara memerlukan satu sistem pedidikan yang lebih sistematik dan menyeluruh. Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, PIPP 2006-2010 telah dilancarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada 6 Februari 2006 di mana ia menggariskan halatuju dan strategi sistem pendidikan negara pada masa kini dan akan datang bagi mencapai kualiti pendidikan yang bertaraf dunia. 6 teras yang telah digariskan di dalam PIPP 2006-20010 ialah membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaa, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan dan melonkakkan kecemerlangan institusi pendidikan.
Analisis Pelaksanaan Teras Strategik dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan ( 2006 - 2010 )
Teras 1 - Membina Negara Bangsa
Teras pertama dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, PIPP ini adalah amat penting terutama bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia. Hal ini kerana era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas dalam semua bentuk maklumat seperti nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara luar yang boleh mempengaruhi minda anak-anak muda. Ini memberi cabaran kepada negara yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan bagi melahirkan warganegara dengan ciri-ciri glokal, patriotik dan cintakan negara, menyanjungi dan menjunjung warisan budaya dan kesenian bangsa yang bertindak bijak dalam menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan local atau tempatan.
Fokus dalam membina negara bangsa ini termasuklah usaha-usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai asas perpaduan dalam masyarakat serta bahasa ilmu. Sebagai tambahan, fokus lain seperti memupuk kecintaan terhadap warisan, budaya bangsa dan seni juga termasuk dalam teras 1.
Antara strategi dalam membina negara bangsa ini adalah:
1. Menggerakkan gelombang baru gerakan memperkasakan bahasa kebangsaan
2. Memantapkan pelaksanaan Dasar Buku Negara
3. Menyelaraskan peranan semua pihar terlibat untuk menggiatkan aktiviti kebahasaan, kesusasteraan, pengkaryaan , penterjemahan dan penerbitan
4. Mewujudkan bulan bahasa dan sastera negara dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan
Usaha dalam memantapkan lagi perpaduan negara serta integrasi nasional dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran rakyat akan pentingnya untuk menghormati Perlembagaan Malaysia, meningkatkan semangat patriotisme dalam diri masyarakat melalui aktiviti kokurikulum dan menanam sifat menghormati sensitiviti yang wujud di dalam masyarakat berbilang kaum. Menyedari akan kepentingan dalam menanam semangat cinta akan seni, warisan dan budaya, Kementerian Pelajaran Malaysia turut melaksanakan program seperti membina sekolah seni, mewujudkan kurikulum kesenian, tingkatkan kerjasama dengan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) serta pembudayaan penggunaan tulisan Jawi.
Teras 2 - Membangunkan Model Insan
Teras kedua menyentuh akan kepentingan dalam memastikan rakyat Malaysia mempunyai kepakaran yang tinggi serta ilmu pengetahuan bagi memenuhi keperluan tenaga kerja dalam pelbagai jenis pekerjaan. Ini termasuklah kemahiran komunikasi berkesan, kebolehan dalam mengaplikasikan teknologi maklumat (ICT), kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif serta bertindak dengan rasional, mempunyai nilai yang tinggi, mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat serta berupaya dalam menjadi pemimpin yang berkesan tidak kira dalam keluarga atau masyarakat.
Pelaksanaan dalam mencapai dasar matlamat tersebut adalah:
1. Meluaskan pilihan pendidikan kepada ibubapa dan pelajar.
Kewujudan pelbagai jenis sekolah, aliran , mata pelajaran dan bidang pengkhususan seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan sekolah Agama Negeri (SAN) disamping pelaksanaan mata pelajaran vokasional (MPV) di sekolah-sekolah turut diperluaskan.
2. Meningkatkan keupayaan dan minat pelajar.
Kajian semula dalam Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum Baru Sekolah Menegah (KBSM) agar lebih menekankan kemahiran berfikir aras tinggi. Selain itu, budaya cintakan ilmu pengetahuan akan dipupuk melalui penggalakkan tabiat membaca seperti gerakan membaca dan bulan membaca.
3. Memupuk pelajar supaya mempunyai kemahiran dan ketrampilan
Peningkatan kemahiran berkomunikasi merentas kurikulum dan kokurikulum melalui peningkatkna jumlah aktiviti literasi dan secara langsung akan digiatkan. Pelaksaan melalui Key Performance Index (KPI) ke atas peningkatan kadar literasi pelajar.
4. Memantapkan program kokurikulum dan sukan
Penyediaan alatan sukan di setiap sekolah agar dapat memenuhi keperluan kemudahan sukan dan kokurikulum tanpa mengira lokasi. Kolaborasi antara KPM dengan Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis sukan Negara bagi melaksanakan program pembangunan sukan secara lebih menyeluruh serta mengenal pasti sekolah yang boleh dijadikan Pusat Sukan Daerah dan Negeri.
5. Memperkukuhkan disiplin pelajar
Pelbagai kempen seperti kempen Anti buli, Kempen Anti Ponteng dan Kempen Pencegahan Salah Laku akan ditingkatkan. Selain itu, penerapan Pendidikan Keselamatan Jalan Raya ke dalam pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat sekolah rendah. Mempercepatkan perkhidmatan sistem aduan masalah disiplin dengan pelbagai saluran aduan yang dapat diguna seperti talian terus dan email.
Teras 3 - Memperkasakan Sekolah Kebangsaan
Pelan Induk Pembangunan pendidikan tumpuan dalam memperkasakan sekolah kebangsaan agar menjadi pilihan utama masyarakat bermula dari peringkat sekolah rendah. Hal ini demikian kerana pada peringkat umur sekolah rendah adalah tempoh penting dalam menanam serta memupuk perpaduan di antara kaum.
Pelaksanaan ini meliputi:
1. Peningkatan pencapaian akademik untuk daya tarikan ibu bapa
2. Guru terlatih mencukupi mengikuti opsyen terutama di luar bandar dan pedalaman
3. Pengetua/Guru Besar diberi tempoh percubaan selama setahun untuk capai KPI
4. Semua sekolah menekankan keperluan asas infrastruktur lengkap dan berfungsi
Ciri-ciri sekolah kebangsaan perkasa seperti menawarkan bahasa Cina dan bahasa Tamil, mempunyai sistem sokongan yang kuat dan mencukupi, penawaran dan pelaksanaan kokurikulum yang berkesan serta pencapaian sahsiah pelajar cemerlang adalah antara faktor yang dapat memastikan sekolah kebangsaan menjadi pilihan utama masyarakat.
Teras 4 - Merapatkan Jurang Pendidikan di Luar Bandar
Pelaksaan dalam teras ini dalam membangunkan kemudahan infrastruktur pendidikan di luar bandar bakal merapatkan jurang pendidikan antara lokasi sekolah. Penyediaan kemudahan terutamanya sekolah di kawasan pedalaman seperti asrama desa dan asrama harian dapat mengurangkan risiko keciciran pelajar dan meningkatkan kadar penyertaan pelajar. Tumpuan diberikan kepada kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak agar setiap sekolah mempunyai prasarana mengikut standard minimum. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) turut memfokuskan dalam mengurangkan jurang yang ada dalam pencapaian akademik dengan menambah jumlah kemudahan ICT seperti komputer, TV pendidikan, makmal komputer serta kemudahan perkakasan terutamanya bagi pelajar dan guru luar bandar agar jurang digital dapat dikurangkan.
Teras 5 - Memartabatkan Profesion Keguruan
Teras ini memfokuskan dalam memastikan profesion guru dihormati dan dipandang tinggi bersesuaian dengan amanah yang telah diberikan kepada mereka dalam membentuk generasi masa depan. Untuk mencapai matlamat ini, penapisan calon ditambahbaik dengan memperketatkan syarat-syarat pengambilan agar dapat memastikan calon guru yang terbaik dapat dipilih. Ini adalah penting kerana hanya guru yang komited dalam melaksanakan tugasnya dapat menyampaikan pengajaran dengan berkesan. Guru yang memiliki kreativiti serta inovatif dalam mengendalikan kelas dapat menjadi inspirasi kepada pelajar sekali gus memberi imej baik guru kepada ibu bapa dan masyarakat.
Pelaksanaan teras meliputi menaiktaraf maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPG) iaitu usaha dalam memantapkan latihan perguruan. Selain itu, penambahbaikan persekitaran kerja serta kebajikan guru dengan menyediakan persekitaran kerja yang kondusif serta menempatkan guru mengikut opsyen. Ini semua adalah antara usaha-usaha KPM dalam meningkatkan martabat profesion keguruan.
Teras 6 - Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan
Bagi melonjakkan lagi kecemerlangan institusi pendidikan dalam sistem pendidikan negara, dasar KPM mengadakan pendekatan, piawaian dan penanda aras yang lebih tepat dan bersesuaian dengan ciri dan keperluan kluster intsitusi pendidikan yang ada iaitu mengikut bidang khusus masing-masing. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai sekolah dalam sistem pendidikan negara pada masa kini. Pelaksanaan teras seperti menawarkan peperiksaan peringkat antarabangsa kepada sekolah-sekolah yang terpilih dalam kluster ini dijadi sekolah contoh yang mana akan dapat dipamerkan. Ini akan menjadi bukti akan keupayaan sistem pendidikan Malaysia di samping menjadikan negara kita sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serta mempunyai daya saing di peringkat antarabangsa.
Pencapaian Teras Strategik dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010)
Bagi teras 1 iaitu membina negara bangsa, 87.9% pencapaian dimana ia menggerakkan gelombang baru gerakan memperkasakan bahasa kebangsaan manakala usaha dalam mengintegrasi nasional dan memupuk kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa masih diteruskan. Teras 1 gagal dalam membentuk satu identiti bangsa Malaysia dan masih berdasarkan kaum. Teras 2 iaitu membangun modal insan berjaya mencapai 92.9%. Usaha dalam melengkapkan diri pelajar dengan kemahiran komunikasi, kebolehan menggunakan ICT dengan baik, berfikir secara kreatif dan kritis, serta mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat berjaya dicapai. Namun demikian, teras 2 gagal menghapuskan pengangguran dalam kalangan graduan kerana sikap makan gaji. Dalam teras 3, 86.0% berjaya dicapai dengan memperkenalkan dasar memperkasakan Sekolah Kebangsaan agar menjadi pilihan utama rakyat Malaysia. Seterusnya, teras 4 iaitu merapatkan jurang pendidikan hampir mencapai matlamatnya dengan 98.0% pencapaian. Ini termasuk membangunkan infrastruktur sekolah luar bandar, tingkatkan kadar penyertaan dan mengurangkan risiko keciciran, dan menambahbaik pengagihan bantuan kepada pelajar berkeperluan khas, miskin dan kumpulan minoriti. Teras 4 gagal merapatkan jurang antara jumlah pelajar perempuan dengan lelaki terutama pada peringkat pendidikan tinggi. Kemudian, teras 5 iaitu memartabatkan profesion keguruan berjaya mencapai 90.8%. Ini termasuk memantapkan latihan perguruan dan kerjaya guru, dan menambah baik persekitaran kerja dan kebajikan guru. Akhir sekali, bagi teras 6 iaitu melonjak kecemerlangan institusi pendidikan, 95.2% berjaya dicapai. Usaha Malaysia dalam menjadikan negara sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dan penglibatan uang lebih aktif dalam badan-badan pendidikan dunia.
Comments
Post a Comment